
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kula Segaran, mengesahkan agensi antirasuah itu sudah menerima maklumat berkaitan isu terbabit Jumaat lalu.
“Kini SPRM sedang memeriksa dokumen bagi mengenal pasti saksi terlibat untuk dipanggil serta dirakam keterangan,” katanya dalam sesi penggulungan usul LKAN 2/2024.
Terdahulu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) mencadangkan MPN disiasat SPRM dan meminta penjelasan sama ada badan pemikir itu sesuai diletakkan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berbanding Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lalu mendedahkan dua ahli lembaga pemegang amanah tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras Akta Syarikat.
Turut didakwa berlaku penyalahgunaan dana MPN bagi pembiayaan operasi kepada dua syarikat tersebut berjumlah RM373,516 selain pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusinya berjumlah RM207,000 dibuat tanpa kelulusan menteri dipertanggungjawabkan.
Presiden MPN, Raduan Che Rose, menjelaskan agensi itu tidak menerima dana kerajaan sejak dibubarkan pada 23 Mei 2018 bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad hingga 2022 dan bergerak sebagai entiti bebas.
MPN yang ditubuhkan pada 2010 diletakkan bawah KPT bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik berpengalaman untuk membantu kerajaan dalam agenda pembangunan negara.
Empat tahun kemudian organisasi itu dipindahkan ke JPM sebelum diperbadankan bawah Akta Syarikat sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.
Pada 29 Mei 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah pentadbiran Mahathir mengeluarkan badan pemikir terbabit daripada JPM.
Bagaimanapun, pada 8 Nov 2021 kerajaan mengumumkan MPN kembali diiktiraf sebagai agensi bawah JPM.