
Wan Agyl Wan Hassan berkata, MRT Corp adalah syarikat bertujuan khas membangun dan memiliki semua aset berkaitan perkhidmatan transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang.
“Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merujuk ‘kerugian’ mencerminkan kos besar ditanggung bagi membina jajaran MRT1 dan MRT2,” kata perunding pengangkutan itu kepada FMT.
Katanya, kos pembinaan MRT1 dan MRT2 disediakan kerajaan kepada MRT Corp, dan Putrajaya sentiasa akan memikul penuh tanggungjawab kewangan untuk pembangunan keseluruhan rel.

“Tanggungjawab MRT Corp terletak pada pengurusan berhemah dana diperuntuk kerajaan. Syarikat itu sebenarnya telah melepasi semua semakan tadbir urus dan mencapai objektif melibatkan MRT1 dan MRT2 yang siap sepenuhnya dan beroperasi.”
Wan Agyl berkata, berdasarkan amalan standard perakaunan, semua dana disuntik kerajaan direkod sebagai perbelanjaan MRT Corp.
Sebaliknya, kerajaan tidak pernah mengenakan sebarang keperluan terhadap MRT Corp perlu memperoleh pendapatan bagi membayar semula atau membiayai kos besar pembinaan sistem rel, apatah lagi menjana keuntungan, katanya.
“Perkhidmatan rel sebenar dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad dan MRT Corp hanya menerima bayaran sewa tahunan nominal yang tidak sepadan berbanding kos pembinaan.
“Ia semata-mata bayaran simbolik, tidak direka mendapatkan semula pelaburan bagi menampung kos besar ketika pembinaan,” jelasnya.
Beliau berkata, salah menilai prestasi syarikat itu sebagai gagal atau melemparkan tuduhan salah guna dana hanya semata-mata merekodkan kerugian, memandangkan kerugian dimaksudkan atas sebab teknikal prinsip perakaunan digunakan semasa audit.
Minggu lalu, LKAN mendedahkan MRT Corp mencatatkan kerugian sebelum cukai RM181.5 juta pada 2023.
Laporan itu juga menyebut, syarikat berkenaan mengalami kerugian terkumpul RM57.624 bilion sejak ditubuhkan pada 2011.
Dalam laporan terbabit, MRT Corp menerima lebih RM59.2 bilion dana kerajaan sehingga tahun lalu.
Wan Agyl berkata, struktur kewangan MRT Corp mirip projek infrastruktur awam yang berlaku di seluruh dunia.
“Secara global, projek infrastruktur rel selalunya memerlukan pelaburan dana awam besar dengan penjanaan pendapatan terhad sama ada daripada sumber tambang dan bukan tambang, seperti pengiklanan,” katanya.
Katanya, nilainya terletak pada faedah ekonomi dan sosial, bukannya pulangan segera kewangan.