RM51.7 juta geran latihan bukan untuk 1 syarikat, kata menteri

RM51.7 juta geran latihan bukan untuk 1 syarikat, kata menteri

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, dana itu sebenarnya disalurkan kepada 315 syarikat penyedia latihan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan wajar ke atas mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan, tanpa mengira kedudukan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menafikan dakwaan RM51.7 juta geran latihan Gerak Insan Gemilang disalah guna, merujuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

Sim berkata, dana itu disalurkan kepada 315 syarikat penyedia latihan, bukan hanya kepada satu syarikat.

“Ada yang katakan, kononnya RM51.69 juta dibelanjakan kepada satu syarikat yang mempunyai 3,726 peserta berulang.

“Saya ingin betulkan pemahaman ini. Sebenarnya RM51.69 juta ini melibatkan 315 syarikat penyedia latihan,” katanya di Dewan Rakyat.

“Keduanya, 84% daripada 3,726 peserta itu, iaitu lebih kurang 3,132 orang, mengikuti kursus berulang sebanyak dua hingga tiga kali sahaja dalam tempoh setahun.”

LKAN mendedahkan penyaluran dana itu menimbulkan kecurigaan, dengan ada peserta mengulang kursus sebanyak 16 kali.

Laporan itu turut menyebut, 234 individu dikatakan peserta menimbulkan kecurigaan kerana menggunakan nama dan nombor pengenalan sama.

Hari ini, Sim berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan, tanpa mengira kedudukan.

“Justeru, kita ambil langkah yang tidak pernah diambil sebelum ini, yakni dalam masa 24 jam melapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk audit bebas dilakukan oleh juruaudit profesional ke atas agensi ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang awam, ‘jangan pula kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar’.

Awal hari ini, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, pihaknya akan melakukan audit bebas terhadap HRD Corp susulan dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara.

Sim berkata, pengaudit profesional akan dilantik pada 31 Julai bagi menyemak semua proses dan dokumentasi.

Semalam, pegawai SPRM mengunjungi ibu pejabat HRD Corp dan mengambil tiga kotak dokumen dipercayai berkait penemuan LKAN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.