Raja Perlis tak berkenan guna nama Majlis Raja-Raja sokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan

Raja Perlis tak berkenan guna nama Majlis Raja-Raja sokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan

Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua minggu depan.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menzahirkan perkara itu kepada Mufti Perlis Asri Zainul Abidin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, kata Mufti Perlis Asri Zainul Abidin.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan saya memaklumkan bahawa baginda tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan”,” katanya dalam catitan di Facebook.

RUU berkenaan dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua minggu depan.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar membentangkan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat merangkumi RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti antaranya memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Semalam, Jabatan Mufti Selangor turut menyokong penuh RUU Mufti untuk mentakrifkan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) berdasarkan manhaj akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai punca kuasa kepada Jabatan Mufti Wilayah bagi menambah baik keberkesanan perkhidmatan institusi berkenaan.

Mufti Selangor Anhar Opir dalam kenyataan, berkata ia selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika menjadi pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dizahirkan ketika Mesyuarat MKI Ke-69 bersidang 6 Mac tahun lalu.

Katanya, titah itu menegaskan institusi Raja-Raja Melayu mewarisi aliran ASWJ dengan berakidah Imam al-Ashari, fiqh bermazhab Imam Shafie, dan aliran tasawuf Imam al-Ghazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.