
Menteri Pertahanan Khaled Nordin.berkata, program dijangka bermula Jun atau Julai depan itu akan disertai pelajar Tingkatan 4 dalam kokurikulum di sekolah sebagai persediaan mengikuti latihan lanjutan selepas usia 17 tahun.
Menurutnya, PLKN asas pula membabitkan remaja berusia 17 tahun ke atas yang akan dipilih menjalani latihan selama 45 hari di 13 kem wataniah, 20 universiti awam dan beberapa politeknik.
Latihan meliputi 30% latihan asas kenegaraan membabitkan elemen jati diri, cinta negara dan perpaduan, manakala 70% latihan asas ketenteraan memfokuskan pada disiplin ketenteraan, ketetapan masa serta mandiri.
“Bagi fasa PLKN asas yang melibatkan peserta 17 tahun dan ke atas di kem askar wataniah, ia dijangka dimulakan pada April 2026,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
“Bagaimanapun projek rintis akan bermula pada Jun dan Julai 2025, melibatkan dua kem wataniah dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta.”
Beliau berkata demikian menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung status terkini pelaksanaan semula PLKN.
Khaled berkata, fasa asas di institut pendidikan tinggi awam (IPTA) pula akan bermula pada pengambilan pelajar sesi akademik 2026/2027.
Kerajaan dilaporkan bersetuju meneruskan semula PLKN, yang dimansuhkan pada 2018, menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, dengan peserta akan menjalani latihan di kem tentera.
Langkah itu antara lain bagi menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan yang sebelum ini berjumlah lebih RM8 bilion.