Kerajaan kaji, nilai semula MPN sebagai syarikat

Kerajaan kaji, nilai semula MPN sebagai syarikat

Dr Zaliha Mustafa berkata ia susulan syor Artikel Pertubuhan MPN perlu dipinda dan operasi serta kewangan MPN dipantau secara terus.

majlis profesor negara
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kajian itu bagi menilai dan mengkaji status Majlis Profesor Negara sebagai syarikat bawah seliaan kerajaan. (Gambar MPN)
KUALA LUMPUR:
Kajian sedang dilaksanakan bagi menilai dan mengkaji semula status Majlis Profesor Negara (MPN) sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan dengan mengambil kira matlamat penubuhannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata ini susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 mengenai penyalahgunaan pembiayaan kewangan selain amalan tadbir urus korporat institusi itu yang berada pada tahap tidak memuaskan.

“Tertakluk kepada keputusan kajian yang dibuat, syor LKAN supaya Artikel Pertubuhan MPN perlu dipinda dan wakil kerajaan dilantik sebagai ahli dalam Lembaga Pemegang Amanah bagi memantau operasi dan kewangannya secara terus, boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan LKAN Siri 2/2024 untuk kementeriannya di Dewan Rakyat.

Menurut LKAN Siri 2/2024, MPN didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516 selain membuat pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi berjumlah RM207,000 tanpa kelulusan menteri dipertanggungjawabkan.

Antara pembayaran yang dilapor dilakukan MPN tanpa kelulusan Lembaga Pemegang Amanah ialah honorarium felow penyelidik berjumlah RM399,000, pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat (RM82,500), penyelarasan gaji pengurusan tertinggi (RM62,500) dan pembayaran elaun tetap presiden/ketua pegawai eksekutif (RM66,000).

Sementara itu, usul perbahasan LKAN Siri 2/2024 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said semalam, diluluskan Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju.

Seramai 52 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang membahaskan laporan berkenaan dan digulung beberapa kementerian terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.