
Beliau dalam jawapan bertulis Parlimen berkata, kemasukan pelajar bukan Bumiputera di sekolah antarabangsa pula menyaksikan peningkatan sebanyak 30.6% dalam tempoh sama.
“Enrolmen pelajar warganegara ke sekolah antarabangsa meningkat 34% dari 2019 hingga 2024.”
Setakat 31 Mei lalu, terdapat 88,951 pelajar di sekolah antarabangsa, dengan warganegara Malaysia terdiri daripada 59,726 (67.1%) dan bukan warganegara seramai 29,225 (32.9%). Pecahan warganegara ialah 19.9% Bumiputera dan 80.1% bukan Bumiputera.
Terdapat 287 sekolah antarabangsa di Malaysia pada 2020, menurut penyelidikan oleh International Consultancy Group, syarikat berpangkalan di UK yang mengkaji industri sekolah antarabangsa global lebih 25 tahun.
Fadhlina menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) berhubung jumlah dan peratusan pelajar di sekolah kerajaan serta antarabangsa berdasarkan pecahan kaum dari 2004 hingga 2024.
Beliau berkata, dalam 10 tahun ini, sekolah kebangsaan menyaksikan peningkatan enrolmen pelajar Bumiputera daripada 93.81% pada 2014 kepada 95.12% pada 2024, manakala pelajar bukan Bumiputera merosot daripada 6.19% pada 2014 kepada 4.88% pada 2024.
Bagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), terdapat peningkatan pelajar Bumiputera daripada 11.67% pada 2014 kepada 18.52% pada 2024, manakala kemasukan pelajar bukan Bumiputera di SJKC menurun daripada 88.33% pada 2014 kepada 81.48% tahun ini.
Di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) pula, enrolmen pelajar Bumiputera meningkat daripada 0.38% pada 2014 kepada 0.49% pada 2024.