6 penentang Bersatu kekal kerusi?

6 penentang Bersatu kekal kerusi?

Surat pemberitahuan keputusan daripada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dihantar kepada Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee, semalam.

6mp
Enam Ahli Parlimen yang tidak perlu mengosongkan kerusi walaupun terlucut keahlian Bersatu adalah (dari atas, kiri ke kanan) Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
PETALING JAYA:
Enam kerusi disandang Ahli Parlimen ‘berpaling tadah’ daripada Bersatu yang menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim dikatakan tidak perlu dikosongkan.

FMT difahamkan surat pemberitahuan daripada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengenai keputusan itu telah diserahkan menerusi e-mel dan WhatsApp kepada Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee malam tadi.

Kerusi terbabit dan penyandangya adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Kiandee ketika dihubungi enggan mengulas lanjut namun memaklumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan mengadakan sidang media jam 3 petang di Parlimen berhubung perkara itu.

Menerusi surat dilihat FMT, Johari memaklumkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain dan Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, selain itu hak mereka juga terjamin di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Ketiga-tiga perundangan itu telah menjamin keistimewaan, kebebasan bercakap, berbahas dan mengundi kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Berkenaan surat permohonan Bersatu kepada kelima-lima Ahli Dewan Rakyat itu kembali ke kerusi pembangkang di Dewan Rakyat, saya masih mendapati sehingga hari ini mereka masih duduk di blok Pembangkang.”

Berhubung status Suhaili, Johari berkata beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Jun lalu, Kiandee yang juga naib presiden Bersatu menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.

Empat hari kemudiannya, Johari mengesahkan menerima notis daripada Ronald dan akan membuat keputusan dalam 21 hari berhubung permohonan mengosongkan enam kerusi wakil rakyat menentang parti itu.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.