3.61 juta pencarum pindah RM11.5 bilion ke Akaun Fleksibel

3.61 juta pencarum pindah RM11.5 bilion ke Akaun Fleksibel

Seramai 3.16 juta pula buat pengeluaran sejumlah RM7.81 bilion.

kwsp
Kementerian Kewangan berkata, 27.8% pencarum KWSP memilih memindahkan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel.
KUALA LUMPUR:
Seramai 3.61 juta atau 27.8% daripada 13.01 juta keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah umur 55 tahun memilih mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel, dengan jumlah perpindahan RM11.52 bilion setakat 24 Jun 2024.

Dalam pada itu, RM5.12 bilion pula telah dipindahkan ke Akaun Persaraan, kata Kementerian Kewangan (MoF).

“Seramai 3.16 juta ahli atau 24.3% daripada jumlah 13.01 juta keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun telah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel melibatkan amaun pengeluaran sebanyak RM7.81 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan laman sesawang Parlimen.

MoF berkata, inisiatif berkenaan adalah langkah proaktif membantu rakyat menghadapi perubahan landskap pekerjaan, penuaan penduduk serta perubahan keperluan mengikut kitaran hayat ahli KWSP.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang meminta status pembaharuan Akaun Fleksibel mulai 11 Mei kepada pencarum.

“Dalam kalangan ahli yang membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, seramai 41,000 ahli, sebelum pindahan dilakukan tidak mencapai simpanan asas mengikut umur ketika ini mencapai simpanan asas mengikut umur berikutan pindahan sebahagian simpanan Akaun Sejahtera mereka ke Akaun Persaraan,” katanya.

MoF berkata, KWSP akan kekal komited untuk terus memberi pulangan kompetitif kepada para pencarum dalam usaha meningkatkan baki simpanan persaraan mereka dan mengelakkan para pencarum terjebak dalam krisis kemiskinan pada usia tua kelak.

“Pengumpulan baki simpanan ahli adalah bergantung kepada trend caruman dan pengeluaran oleh ahli. Caruman yang konsisten dan pengeluaran hanya dilaksanakan untuk tujuan berpatutan akan membantu ahli membina baki simpanan persaraan pencarum, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.