Tampar, tarik rambut ‘pelajar biadab’, guru mengaku tak salah

Tampar, tarik rambut ‘pelajar biadab’, guru mengaku tak salah

Tertuduh berusia 48 tahun didakwa sengaja menyebabkan cedera ke atas pelajarnya pada 2022.

gavel
Mohd Heirman Ishak dibenar ikat jamin RM2,000 dengan sebutan semula kes pada 22 Ogos di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Guru disiplin sebuah sekolah di Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas dakwaan sengaja menyebabkan cedera terhadap pelajarnya dengan menampar muka dan menarik rambut, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Heirman Ishak, 48, berbuat demikian kerana pelajar itu bersikap biadab.

Beliau yang masih bertugas sebagai guru minta dibicarakan dalam prosiding kes di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik guru pada 9 Dis 2022, kira-kira 11.30 pagi.

Heirman didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, lapor Berita Harian.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta memohon tarikh sebutan baharu untuk serahan dokumen.

Peguam, Nor Azmi Mohd Arif bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan anak guamnya masih berkhidmat serta menanggung dua anak yang masih belajar serta ibu terlantar sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tidak boleh mengganggu mangsa hingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.