RCI: Dr M rayu keputusan mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman

RCI: Dr M rayu keputusan mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman

Mahkamah Tinggi pada 12 Jun lepas menolak permohonan Dr Mahathir Mohamad, yang mahu menyingkir Pengerusi RCI Raus Sharif, serta Baljit Singh Sidhu dan Ridha Abd Kadir.

mahathir mohamad
Peguam bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memfailkan notis rayuan hari ini, dalam usaha merayu keputusan mahkamah.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk memulakan semakan kehakiman bagi menyingkir pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Batu Puteh, dan dua ahli lain.

Notis rayuan difailkan oleh peguam Mahathir, Law Practice of Rafique, hari ini iaitu dua hari sebelum tempoh 30 hari berakhir.

Hakim Amarjeet Singh pada 12 Jun lepas menolak permohonan Mahathir yang mahu menyingkir Pengerusi Raus Sharif, serta Baljit Singh Sidhu dan Ridha Abd Kadir.

Turut menolak permohonan Mahathir agar prosiding RCI dijalankan secara terbuka kepada umum, hakim berkata prosiding RCI tidak boleh disemak mahkamah.

Pada 5 Jun lalu, Mahathir mendakwa pelantikan Raus akan menimbulkan bahaya berat sebelah, manakala Baljit dan Ridha pula dikatakan ada konflik kepentingan.

Sebelum ini, peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali, mendakwa pelantikan Raus bertentangan dengan prinsip keadilan asasi kerana beliau pihak yang berkepentingan.

Menurutnya, Mahathir pada 2017 memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kesahan pelantikan Raus sebagai hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan memandangkan Perlembagaan telah menetapkan usia persaraan.

Rafique berkata Baljit dan Ridha anggota pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada 2021 untuk meneliti dan membuat syor berhubung Batu Puteh, maka mereka tidak boleh berada dalam RCI kerana mereka sudah menentukan isu tersebut terlebih dahulu.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 mengisytiharkan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia, dan Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.

Malaysia memohon kepada ICJ supaya mentafsirkan penghakiman pada 2017.

Pada 2018, pentadbiran Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh.

Pada 14 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan tujuh ahli termasuk Raus sebagai pengerusi RCI itu, yang ditubuhkan bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan.

Raus merupakan bekas ketua hakim negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.