
Panel lima hakim yang diketuai Hakim Azizah Nawawi menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan peguam utama Muhyiddin, Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Mohd Dusuki Mokhtar yang bertindak bagi pihak pendakwa raya sebagai responden.
“Kami memerlukan lebih banyak masa kerana kes ini melibatkan isu yang serius. Oleh itu, kami menangguhkan keputusan kepada 20 Ogos,” kata Azizah.
Hakim lain yang bersidang ialah Che Mohd Ruzima Ghazali, Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah, dan Azhahari Kamal Ramli.
Pada 27 Mac lepas, Muhyiddin, 77, memfailkan permohonan supaya mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan empat tuduhan terhadapnya yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam notis usulnya, Muhyiddin berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Muhyiddin sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu, didakwa menggunakan jawatannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff untuk parti tersebut.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Presiden Bersatu itu juga menghadapi dua tuduhan menerima wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Bersatu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Terdahulu, Hisyam berhujah bahawa kes ini adalah kes yang wajar dan sesuai untuk semakan kerana tiada undang-undang atau cara lain yang boleh digunakan oleh pemohon (Muhyiddin) melainkan memohon bantuan mahkamah untuk membetulkan ketidakadilan yang timbul daripada keputusan yang dipertikaikan.
“Secara ringkasnya, kegagalan keadilan yang timbul daripada keputusan yang dipertikaikan adalah begitu berat dan jelas sehingga memerlukan campur tangan semakan oleh mahkamah ini,” katanya.
Hisyam juga berhujah bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak semula rayuan yang telah diputuskan untuk mengelakkan ketidakadilan yang nyata dalam keadaan luar biasa.
“Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk membetulkan keputusan yang salah untuk memastikan keadilan antara pihak-pihak yang terlibat dan memastikan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan,” tambahnya.
Sementara itu, Wan Shaharuddin berhujah bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan melupuskan rayuan termasuk rayuan responden (pendakwa raya) di bawah Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 berhubung pembebasan pemohon.
“Permohonan semakan ini merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah. Oleh itu, saya mohon mahkamah menolak permohonan semakan pemohon dan mengembalikan kes ini ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan,” katanya.