Wanita ditahan bantu siasatan dakwaan pempengaruh TikTok dibuli siber

Wanita ditahan bantu siasatan dakwaan pempengaruh TikTok dibuli siber

Polis berkata suspek direman hingga 10 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut tiga akta.

Polis menahan wanita tempatan itu kira-kira 1.45 pagi tadi di Rawang susulan laporan seorang lelaki pada Sabtu lalu. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan dakwaan ugutan terhadap seorang pempengaruh TikTok yang meninggal dunia minggu lalu selepas dikatakan dibuli siber.

Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata wanita tempatan berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira 1.45 pagi tadi di Rawang susulan laporan seorang lelaki pada Sabtu lalu.

Katanya, suspek direman hingga 10 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurutnya, dua hantaran di akaun TikTok “Dulal Brothers” dan “Alphaquinnsha” mengandungi ugutan serta ancaman terhadap pempengaruh terbabit yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah.

“Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar dikemukakan pengadu kepada polis, namun disyaki telah dipadam kedua-dua pemilik akaun TikTok tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, seorang pempengaruh wanita berusia 29 tahun didakwa membunuh diri kerana tertekan dengan buli siber. Mayatnya ditemui di rumahnya kira-kira 11 pagi Jumaat lalu.

Susulan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, individu terbabit kes kematian pempengaruh itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Semalam, Fahmi berkata, isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat ini bagi mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, pembentangan atas permintaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu turut akan menyentuh laporan seorang pempengaruh TikTok didakwa membunuh diri kerana tertekan dengan buli siber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.