Pemimpin Umno harus belajar jadi ‘pembangkang’, kata Johari

Pemimpin Umno harus belajar jadi ‘pembangkang’, kata Johari

Naib presiden Umno itu berkata, pemimpinnya harus menjadi pembangkang yang mampu menyemak imbang wakil rakyat yang tidak bagus.

johari ghani
Kebolehan pemimpin Umno untuk menjadi pembangkang yang berfungsi akan membawa manfaat kepada rakyat, kata Naib Presiden Umno Johari Ghani.
PETALING JAYA:
Umno perlu melatih pemimpinnya menjadi pembangkang agar boleh menyemak imbang wakil rakyat yang tidak melaksanakan tugas dengan baik, kata Johari Ghani.

Naib presiden Umno itu berkata, kebolehan pemimpinnya bukan sahaja sebagai wakil rakyat, malah sebagai pembangkang yang berfungsi akan membawa manfaat kepada rakyat.

“Kita nak latih pemimpin Umno jadi pembangkang, asyik menang (saja), bila dah kalah jadi tak pandai (membangkang).

“Kena belajar (jadi pembangkang), baru akhirnya rakyat akan dapat manfaat, ‘good’ wakil rakyat, ‘good’ pembangkang,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata sedemikian selepas perasmian Mesyuarat Umno Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong (MPB), hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pemangku Ketua Umno Bentong Mohamad Zaini Salleh dan bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob yang juga bekas ketua Umno bahagian itu.

Apabila ditanya mengenai usaha yang akan dilakukan oleh Umno, Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, ia bergantung kepada kawasan terlibat.

“Luar bandar, macam mana prestijnya, dalam bandar, ‘semi urban’, kita bincang secara dalaman, tidak payah cerita pada orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.