
Shamsul Anuar Nasarah berkata, parti perlu menyelesaikan ‘realiti sebenar’ orang Melayu meninggalkan Umno merujuk keputusan PRN tahun lalu dan siri PRK, selepas pilihan raya umum itu.
“Ternyata Umno dan Barisan Nasional (BN) mesti segera mengkaji semua aspek dan mengatur strategi berasaskan fakta, data yang tepat serta realiti sebenar.
“Namun, persoalan yang perlu Umno jawab dan mencari jalan penyelesaian adalah kenapa mutakhir ini sokongan Melayu dan pengundi teras, pengundi muda kepada Umno-BN semakin kurang biarpun pelbagai program dan perkara telah dilakukan,” katanya menurut Utusan Malaysia di Jerlun, Kedah.
Timbalan menteri dalam negeri itu berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Jerlun.
Shamsul berkata, Umno mesti segera mengubah pendekatannya menghadapi rakyat kerana semua realiti telah berubah serta tidak lagi hanya menumpukan program dalam lingkungan ahli tanpa memfokuskan kelompok rakyat.
Katanya, Umno tidak boleh bertindak tanpa strategi yang tepat dan hanya berasaskan andaian semata-mata sebaliknya perlu melakukan apa rakyat inginkan.
Pada PRN tahun lalu, Umno-BN hanya menang 19 kerusi DUN di enam negeri berbanding 108 kerusi ditandingi.
Pada PRU15 BN menang 30 kerusi Parlimen dengan Umno menang 26, diikuti dua MCA serta masing-masing satu MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).