Pekebun rugi RM80,000 disamun kumpulan menyamar polis

Pekebun rugi RM80,000 disamun kumpulan menyamar polis

Kumpulan itu menceroboh bangsal didiami mangsa berusia 40 tahun itu sebelum menggari dan mengikat kakinya.

Pekebun rugi
Seorang pekebun berusia 40 tahun disamun di sebuah bangsal di Stong Dabong, Kuala Krai, hari ini, menyebabkan beliau mengalami kerugian RM80,000 (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang pekebun kerugian kira-kira RM80,000 setelah disamun sekumpulan lelaki bertopeng yang menyamar sebagai polis di Stong Dabong, Kuala Krai, hari ini.

Kumpulan bersenjatakan objek menyerupai pistol dan parang itu melarikan barang berharga dan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik mangsa.

Ketua Polis Kuala Krai Mazlan Mamat berkata, kumpulan lelaki itu dikatakan menendang pintu sebelum menceroboh bangsal didiami mangsa berusia 40 tahun itu di Kampung Lepan Anjung.

Katanya, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan salah seorang daripada mereka memegang objek menyerupai pistol.

“Suspek turut mengacukan parang di leher mangsa sambil memaklumkan mangsa melakukan kesalahan jenayah dan akan ditangkap,” katanya menambah, tangan mangsa kemudian digari dan kakinya diikat dengan tali.

Mazlan berkata, suspek kemudian mengambil barangan milik mangsa, termasuk wang tunai berjumlah RM7,000, sebuah telefon bimbit, dua jam tangan berjenama dan sebuah Toyota Hilux, menyebabkan kerugian RM80,000.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menjadi saksi atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.