Kapal kargo karam, 10 kru warga asing diselamat

Kapal kargo karam, 10 kru warga asing diselamat

APMM menggerakkan asetnya dalam cuaca buruk selepas kapal itu mengalami kebocoran teruk 'ballast tank'.

Pengarah APMM Selangor Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata MV Kumjin karam di Barat Tanjung Rhu, Sepang, pada awal pagi tadi. (Gambar APMM)
SHAH ALAM:
Sepuluh kru termasuk kapten kapal kargo MV Kumjin terselamat selepas kapal itu karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu, Sepang dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata maklumat berhubung insiden itu diterima pihaknya melalui panggilan kecemasan, memaklumkan sebuah kapal mengalami kebocoran di bahagian hadapan ‘ballast tank’ yang agak teruk.

Beliau berkata, susulan panggilan kecemasan itu Bot Perkasa 36 APMM telah diatur gerak ke lokasi walaupun dalam cuaca buruk, kira-kira 3.35 pagi.

“Setiba di lokasi, pasukan bot ronda APMM mendapati kapal MV Kumjin dalam keadaan tidak stabil, dan semua kru serta kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Muhaimin berkata, anggota APMM kemudian bertindak membantu memindahkan semua kru ke atas Bot Perkasa 36 sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, kapten kapal merupakan seorang warga Indonesia berusia 53 tahun, manakala kru kapal lain merupakan warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.