
Beliau berkata demikian selepas Zahid dilaporkan memberi bayangan tidak akan ada kerjasama antara Umno dan PAS selagi Hadi mengetuai parti itu.
Tuan Ibrahim berkata, Zahid berulang kali menyatakan Umno tidak akan bekerjasama dengan DAP atau Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim sebelum kerajaan perpaduan dibentuk.
“PAS pun tidak akan bekerjasama (dengan Umno) selagi dia (Zahid) menjadi presiden.
“Kami yakin kekuatan Perikatan Nasional (PN) sudah memadai untuk menjadi parti pilihan rakyat pada masa depan.
“Keputusan PRK Sungai Bakap boleh menjadi ukuran sokongan dan penerimaan masyarakat kepada PN,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata, Umno mengambil iktibar daripada pengalaman masa lalu kerana banyak keputusan bersama dikhianati parti komponen PN itu yang turut didakwa mengeksploitasi Islam.
Sebelum PRU15, Zahid dilaporkan berkata, Umno tidak akan bekerjasama dengan Anwar, DAP atau Bersatu dalam pilihan raya melalui ikrarnya “tiada Bersatu, tiada Anwar, tiada DAP” pada Perhimpunan Agung Umno 2021.
Tetapi, selepas PRU15, beliau mengetuai Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan perpaduan bersama PH, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.
Tuan Ibrahim mendakwa Umno semakin lemah sehingga perlu menyerahkan kerusi pernah ditandinginya kepada DAP dan PKR, contohnya kerusi Sungai Bakap, Kuala Kubu Baharu serta Ketari.
“Jelas ia semakin lemah kerana kepimpinan yang ada dalam Umno.”
Kerusi Sungai Bakap dikuasai Gerakan, sebelum dirampas Umno selama sepenggal pada PRU11. Umno terus bertanding di kerusi itu pada PRU berikutnya.
Sebelum PRK Kuala Kubu Baharu Mei lalu, Zahid dilaporkan berkata, Umno akan memberi laluan kepada DAP walaupun jumlah pengundi Melayu di sana meningkat melebihi 50%. Kerusi itu ditandingi MCA sejak 1976.
Terdahulu, Umno Bentong hari ini meminta BN dibenarkan bertanding di DUN Ketari pada PRU16. Pemangku ketuanya, Zaini Salleh berkata, permintaan rasmi akan dibuat memandangkan Ketari kawasan majoriti Melayu.
Kerusi itu disandang Gerakan sehingga 2013 dan Umno julung kali bertanding di Ketari pada PRU15.