4 lelaki bersenjata kapak rompak barang kemas RM1.2 juta

4 lelaki bersenjata kapak rompak barang kemas RM1.2 juta

Polis berkata belum ada tangkapan dibuat dalam kejadian Sabtu lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Jaafar berkata suspek merompak beg galas berisi barang kemas dibawa seorang lelaki. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Beg galas berisi barang kemas RM1.2 juta disamun empat lelaki bersenjata kapak dalam kejadian di sebuah parkir kenderaan premis perniagaan.

Suspek turut menggunakan objek berbentuk pistol dalam kejadian pada 7.40 malam, Sabtu lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar, berkata suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta selepas menyerbu lelaki menggalas beg berisi barang kemas milik syarikatnya, ketika bersama bapa dan ibu saudaranya.

“Siasatan lanjut mendapati terdapat empat suspek yang bertutup muka terlibat dalam kejadian ini.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menunggu dalam kereta sehingga pengadu tiba di lokasi kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan, namun trauma susulan kejadian.

Shahrulnizam berkata, tiada sebarang tangkapan buat masa ini dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.