222kg minyak masak peket bersubsidi disorok dalam stor kena sita

222kg minyak masak peket bersubsidi disorok dalam stor kena sita

Sebuah premis di Taman Makmur, Kulim dikesan melakukan tindakan itu selepas anggota penguat kuasa KPDN menjalankan Op Samar semalam.

sorok minyak kedah
Kes disiasat mengikut Seksyen 16A (1) (a) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], kata Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin. (Gambar KPDN Kedah)
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kulim menyita 222kg minyak masak peket bersubsidi yang dipercayai ‘disorokkan’ di sebuah premis di Taman Makmur dekat Kulim, semalam.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata sepasukan anggota KPDN Kulim melakukan tindakan penguatkuasaan kira-kira 12 tengah hari terhadap premis yang didapati enggan menjual barang kawalan itu.

Beliau berkata tindakan awal dilakukan dengan membuat uji beli melalui Op Samar dan mendapati tiada minyak masak peket satu kg dipamerkan di rak jualan.

“Setelah bertanya kepada seorang pekerja lelaki tempatan, anggota dimaklumkkan minyak masak peket satu kg di kedai runcit itu kehabisan stok. Pasukan kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut dan menemukan sejumlah minyak masak peket disimpan di dalam stor.

“Anggota kemudian menyita minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM555 itu untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 16A (1) (a) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat denda tidak melebihi RM2 juta, manakala kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta dan kes juga boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.