
Pemangku Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 64 tahun itu berurusan dengan seorang individu tidak dikenali di Facebook sebelum meneruskan komunikasi melalui WhatsApp.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan besar yang ditawarkan menerusi pelaburan mata wang digital itu memasukkan maklumat di sebuah laman web.
“Dalam tempoh 3 April hingga 18 Jun, mangsa membuat pindahan wang ke lapan akaun berbeza secara berperingkat berjumlah RM400,900,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa kemudiannya menerima mesej daripada suspek menyatakan akaun pelaburannya disita oleh Kementerian Kewangan Amerika Syarikat.
Justeru beliau diberitahu perlu membuat bayaran 3% daripada jumlah pelaburan untuk menebusnya.
“Mangsa tidak berbuat demikian kerana mengesyaki ditipu dan membuat laporan polis semalam,” kata Shahrulanuar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.