P Pinang minat anjur bersama Sukan SEA

P Pinang minat anjur bersama Sukan SEA

Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk menganjurkan sukan tertentu, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

penang-georgetown
Kementerian Belia dan Sukan utus surat kepada semua negeri menawarkan sekiranya mereka berminat untuk bekerjasama dalam penganjuran Sukan SEA. (Gambar Pexel)
PETALING JAYA:
Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu selepas Sarawak yang berminat untuk menjadi hos bersama penganjuran temasya Sukan SEA 2027, menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Selepas Sarawak bersedia untuk berkongsi kos penganjuran bersama kerajaan persekutuan dengan syarat acara perasmian temasya sukan dan sebahagian acara diadakan di Sarawak, Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk menganjurkan sukan tertentu.

Hannah berkata Majlis Sukan Negara kini sedang menyediakan kertas kajian impak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Jemaah Menteri sebelum temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula 26 Julai ini.

“Kita telah buat satu rundingan dan Sarawak menyatakan bahawa mereka nak jadi hos bersama sehingga 50% tajaan (namun) kita juga ada negeri lain memaklumkan bahawa mereka nak juga terlibat.

“Pulau Pinang telah menyatakan hasrat mereka juga untuk sukan-sukan tertentu. Jadi semua ini kita akan bawa kepada Jemaah Menteri dan kita akan buat satu keputusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis anjuran Persatuan Dodgeball Malaysia.

Beliau berkata maklum balas itu diterima setelah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengutus surat kepada semua negeri menawarkan sekiranya mereka berminat untuk bekerjasama dalam penganjuran sukan berkenaan.

“Buat masa ini ia adalah pelawaan dan sekiranya mereka bersetuju kemudian kita melihat kesesuaian, logistik, venue, kos, tajaan, jumlah sukan dan sebagainya… ini semua kita sediakan dalam laporan kajian impak kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Pada 22 Mei 2022, Mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Malaysia berikutan penarikan diri Brunei manakala Thailand dan Singapura masing-masing diberi kebenaran menganjurkan temasya itu pada 2025 dan 2029.

Sekiranya kerajaan bersetuju menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu, Sukan SEA 2027 menjadi kali ketujuh Malaysia menjadi tuan rumah selepas menjadi penganjur pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001, dan 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.