Ketua MIC nafi terbabit kekalahan Mohan dalam pemilihan naib presiden

Ketua MIC nafi terbabit kekalahan Mohan dalam pemilihan naib presiden

SA Vigneswaran mengakui memberi sokongan kepada R Nelson, tetapi menyifatkan kekalahan T Mohan 'mengejutkan'.

SA Vigneswaran-T Mohan
Presiden MIC, SA Vigneswaran (kiri) berkata, beliau dan bekas naib presiden parti itu, T Mohan adalah kawan baik.
PETALING JAYA:
Presiden MIC, SA Vigneswaran menafikan beliau memainkan peranan dalam kekalahan Naib Presidennya, T Mohan pada pemilihan parti hari ini dan menyifatkan beliau terkejut dengan keputusan itu.

Katanya, beliau tiada calon pilihan dalam kalangan individu bersaing bagi tiga jawatan naib presiden dan menyerahkan kepada perwakilan membuat pilihan tanpa sebarang sekatan.

Tetapi, Vigneswaran mengakui memberi sokongan kepada R Nelson, antara tiga calon yang memenangi jawatan itu serta menyifatkan naib presiden baharu itu “tidak setanding” tiga penyandang.

T Murugiah dan M Asojan mempertahankan jawatan mereka, manakala Nelson menewaskan Mohan untuk menjadi naib presiden ketiga dalam pemilihan kepimpinan MIC bagi penggal 2024-2027.

“Mohan pemimpin parti terkenal dan mengenali semua orang. Saya menjangkakan beliau akan menang. Saya juga terkejut dengan kekalahannya kerana beliau antara calon kegemaran.

“Tuduhan sebaliknya tidak berasas kerana kami berkawan baik. Mohan bukan musuh saya,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, sumber memberitahu FMT bahawa Vigneswaran punca kekalahan Mohan. Mereka mendakwa Mohan tidak diberikan senarai penuh perwakilan dan kepimpinan menggantung beberapa cawangan memihak kepadanya.

Vigneswaran berkata, tidak benar senarai perwakilan tidak diberikan kepada Mohan kerana semua calon mempunyai akses kepada senarai itu.

“Berhubung penutupan (beberapa) cawangan, ia bukan untuk mensabotaj beliau. Kami melakukan pembersihan kerana mahu ahli sebenar, bukannya ahli hantu.

“Ada yang mempunyai 60 nama, tetapi hanya 20 orang menghadiri mesyuarat agung tahunan. Tiada korum, jadi kita perlu pastikan parti mempunyai ahli sebenar dan kukuh.”

Beliau menyifatkan pemilihan kali ini paling bersih dalam sejarah MIC, dengan calon mempunyai akses kepada semua perwakilan secara bebas.

“Kami tidak mengadakan makan malam dan perhimpunan lain untuk berkempen, tidak seperti dahulu,” katanya sambil menambah Mohan, 51, akan dipertimbangkan untuk dua jawatan naib presiden dilantik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.