Warga Pangkor tolak pelan pembangunan kerajaan

Warga Pangkor tolak pelan pembangunan kerajaan

Projek penambakan dan pembangunan pusat pelancongan akan menjejaskan masa depan penduduk, kata sebuah jawatankuasa.

Pulau Island Pangkor
Rancangan kawasan khas oleh kerajaan persekutuan dan negeri di Pulau Pangkor tidak akan membawa faedah kepada penduduk tempatan, menurut sebuah jawatankuasa mewakili nelayan dan masyarakat setempat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah jawatankuasa mewakili nelayan dan masyarakat setempat di Pulau Pangkor menolak sekeras-kerasnya sebuah rancangan kawasan khas (RKK) kerajaan persekutuan dan negeri untuk pulau itu.

Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Pulau Pangkor berkata, selepas membaca cadangan dalam dokumen RKK itu, pihaknya mendapati ia tidak membawa sebarang faedah kepada penduduk tempatan.

“Walaupun kami menjunjung usaha kerajaan membawa pembangunan ke Pulau Pangkor, cadangan-cadangan dalam dokumen RKK Pulau Pangkor yang diterbitkan baru-baru ini bukannya akan membantu warga tempatan tetapi akan menjejaskan masa depan mereka.

“(Ini) sekaligus (akan) menghapuskan identiti (pulau ini) yang menjadi kebangaan anak jati Pangkor,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pelan penambakan seluas 19.16 ekar, bahagian penting dalam cadangan itu, akan menyebabkan ‘pengusiran’ besar-besaran penduduk yang telah tinggal bergenerasi di Pulau itu.

“Tujuan pengusiran dan tambak Pangkor ini adalah untuk mewujudkan tanah lapang baharu di Pulau Pangkor bagi tujuan pembangunan pusat beli-belah, pusat bebas cukai, dan tarikan pelancongan lain yang langsung tidak mampan dan berisiko menjadi projek ‘gajah putih’

“Kawasan-kawasan tersebut yang telah menjadi tempat tinggal anak jati Pangkor sejak sekian lama juga merupakan pusat aktiviti nelayan dan pemprosesan hasil laut, ikon unik Pulau Pangkor,” katanya.

Pembangunan demikian tidak akan membawa sebarang faedah yang mampan bagi warga Pulau Pangkor, tambahnya.

Menurut jawatankuasa itu, Pulau Pangkor juga adalah antara zon biodiversiti paling padat di Malaysia, menjadi habitat kepada pelbagai spesis flora dan fauna endemik, termasuk burung enggang liar Pangkor dan penyu agar.

“Namun demikian, pelan pembangunan Pulau Pangkor seperti terkandung dalam RKK akan menyebabkan kemusnahan alam sekitar disebabkan klasifikasi semula 644.6ha kawasan hutan simpan kekal di Pulau Pangkor.

“Kerajaan persekutuan dan negeri tidak patut memusnahkan keindahan semulajadi semata-mata untuk membangunkan Pulau Pangkor sebagai pusat pelancongan generik.

“Sebaliknya mereka patut menambahbaik usaha konservasi flora dan fauna supaya Pulau Pangkor dapat dibangun secara mampan,” katanya.

Sehubungan itu, jawatankuasa itu menggesa kerajaan persekutuan dan negeri agar mempertimbangkan semula pelan pembangunan itu.

“Kami juga menyeru kerajaan supaya melibatkan warga Pulau Pangkor dalam segala pelan pembangunan pada setiap peringkat supaya kepentingan (penduduk) dapat dikongsi dan pelan pembangunan cacamerba seperti ini dapat dielakkan pada masa depan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.