Rasa tak puas hati pengundi ‘belenggu’ PRK Sg Bakap

Rasa tak puas hati pengundi ‘belenggu’ PRK Sg Bakap

PRK hari ini diramal sengit dengan kemenangan PH-BN atau PN ditentukan sejauh mana dapat menarik pengundi keluar memilih.

Joohari Ariffin abidin ismail
Joohari Ariffin (kanan) dari Pakatan Harapan dan Abidin Ismail dari Perikatan Nasional mempunyai peluang sama rata menang kerusi Sungai Bakap. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
PRK Sungai Bakap dijangka sengit memandangkan rasa tidak puas hati terhadap dua gabungan parti bertanding tampak akan mempengaruhi pilihan pengundi.

Pemilih akan mengundi hari ini – atau tidak – bagi memilih Adun baharu dengan pemerhati politik yakin PRK ini ‘akan dimenangi oleh pihak yang mampu menggerakkan pengundi turun memilih’.

Hisomuddin Bakar, ketua firma tinjauan pendapat Ilham Centre, berkata wujud rasa tidak senang kepada Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan PAS, parti tulang belakang Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Ilham Centre berkata, sukar menjangka parti mana akan menang, mengambil kira tiga faktor utama menentukan keputusan: bagaimana penyokong mengundi; pilihan pengundi muda; dan faktor keluar mengundi pemilih Cina.

Hisomuddin berkata, calon PH Joohari Ariffin berkemungkinan akan menerima sokongan sebahagian undi penyokong tegar Umno yang merasakan seperti dikhianati oleh PAS selepas ramai daripada mereka mengundi parti itu, pada PRN tahun lalu.

Penyokong tegar Umno ini mengundi PN sebagai tanda protes BN bekerjasama dengan PH.

“Sebahagian besar penyokong Umno kecewa dengan PAS yang tidak ‘santuni’ atau mendekati mereka selepas pilihan raya 2023. Mereka merasakan dipinggirkan PAS dan berkemungkinan mengalih undi kepada PH bagi menyokong gabungan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, katanya masyarakat Cina Sungai Bakap ‘tiada mood’ keluar mengundi pada PRK ini, terutama rasa tidak puas hati berkait penyasaran subsidi diesel.

Katanya, pengundi Cina menjadi kunci utama menjurus kemenangan PH. Namun, rasa tidak gembira itu tidak menjadikan mereka mahu memilih calon PN Abidin Ismail.

“(Walaupun rasa tidak gembira terhadap kerajaan perpaduan) kebanyakan pengundi Cina tidak akan mengundi PN. Jumlah mereka tidak turut serta dalam PRN berkemungkinan tinggi sebagaimana disaksikan pada PRN lalu.”

Berdasarkan data pada PRN 2023, Sungai Bakap mempunyai 59.36% pengundi Melayu, 22.54% (Cina), 17.39% (India), dan 0.71% (etnik lain).

Ibrahim Suffian dari Merdeka Center, berkata isu tempatan seperti tarif air Pulau Pinang juga ada mencetuskan rasa tidak senang penduduk Sungai Bakap, dipercayai ramai kelompok pengundi belum menentukan arah undi mereka.

Namun, Ibrahim berkata, pengundi kelihatan menyukai Joohari, yang dikatakan lebih pandai bercakap dan mudah berinteraksi dengan penduduk.

Hisomuddin berkata, Joohari dan Ariffin mempunyai peluang hampir sama menang Sungai Bakap, bagaimanapun dipercayai calon PAS itu ada ‘sedikit kelebihan’ berdasarkan perbincangan kumpulan fokus dengan pengundi, sejak dua minggu lalu.

Jumlah keluar mengundi akan menentukan hala tuju pengundian kepada parti bertanding sambil Hisomuddin meramalkan peluang PN menang ‘tergugat’ andai kurang 65% keluar memilih.

“Akhirnya, PRK ini akan dimenangi pihak yang mampu menarik pengundi keluar memilih,” katanya.

PKR pertama kali merampas Sungai Bakap dari Barisan Nasional pada PRU 2008 dan kekal menguasai kerusi itu selama tiga penggal, sebelum tumpas kepada PN tahun lalu.

Pengundi muda mewakili sebahagian besar pemilih melibatkan 16,526 pengundi berusia 21 hingga 39 tahun.

PH dan Umno menguasai dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang melibatkan 29 kerusi, manakala 10 dimiliki PN dengan PAS memegang enam kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.