
Walaupun kerajaan bulan lepas berkata tiada pelan dalam masa terdekat untuk membangunkan SEZ di sepanjang sempadan Sarawak dengan Brunei dan Kalimantan, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, idea itu masih dipertimbangkan untuk pembangunan ekonomi masa akan datang di wilayah itu.
Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak Madeline Berma berkata, SEZ boleh berfungsi sebagai alat strategik untuk menarik pelaburan langsung asing berkait rantaian nilai global.
“Pembangunan SEZ di Sarawak akan meningkatkan kerjasama subrantau antara Sarawak, Brunei dan Kalimantan,” katanya kepada FMT.

“SEZ boleh mempercepat pembangunan ekonomi di sekitar wilayah sempadan Tebedu-Entikong (merangkumi Sarawak dan Kalimantan) melalui kerjasama dalam (sektor) kuasa, telekomunikasi dan pemuliharaan alam sekitar.”
Berma berkata, SEZ patut dibangunkan di lokasi strategik berhampiran laluan perdagangan atau sempadan, disokong oleh prasarana yang kukuh,
Zon ini boleh memudahkan pemprosesan eksport, kejuruteraan industri dan kegiatan logistik seperti penyimpanan, pemasangan dan pembaikan jentera, katanya.
Tambahnya, SEZ akan memanfaatkan pelbagai sektor di negeri ini, termasuk pemprosesan berasaskan kayu, pelancongan perubatan, pendidikan dan perkhidmatan kewangan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Lee Heng Guie berkata, pembangunan SEZ di Sarawak boleh memanfaatkan potensi pertumbuhan ekonomi dan lokasi strategik negeri itu.

Katanya, lokasi Sarawak yang dekat dengan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia, boleh membawa kepada limpahan ekonomi dan perniagaan yang ketara dalam SEZ yang diwujudkan antara Sarawak dan Indonesia.
Dengan hasil dan lebihan belanjawan Sarawak yang besar, pembangunan SEZ boleh membantu mengubah negeri itu menjadi penjana ekonomi, tambahnya.
“Sarawak ialah lokasi yang tepat bagi pelabur, dengan sumbernya yang banyak untuk tenaga boleh baharu dan pelaburan hijau (hidro dan hidrogen),” katanya.
“Wujud juga peluang pengembangan prasarana, meliputi air (kerja paip, tebatan banjir dan loji rawatan air), pengangkutan (Transit Aliran Autonomi Kuching, Lebuh Raya Pan-Borneo, dan projek lebuh raya lain), dan potensi pembangunan pusat data.”
Platform Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina juga akan dapat menggalakkan kerjasama pelaburan serantau dalam SEZ, tambahnya.