Keputusan perolehan pesawat Hornet selepas terima laporan teknikal

Keputusan perolehan pesawat Hornet selepas terima laporan teknikal

Timbalan menteri pertahanan berkata keputusan akan dibuat berdasarkan laporan itu dan keperluan negara, terutama dari aspek keperluan tentera udara.

Pasukan teknikal tentera udara ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur F/A-18D Hornet pada Jun lalu. (Gambar Wikipedia)
TAIPING:
Perolehan pesawat tempur F/A-18D Hornet akan diputuskan selepas Kementerian Pertahanan mendapat laporan lengkap daripada pasukan teknikal tentera udara yang ke Kuwait Jun lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pihaknya akan membuat keputusan berdasarkan laporan itu dan keperluan negara, terutama dari aspek keperluan tentera udara.

“Setakat ini, kumpulan teknikal ada perkembangan dari Kuwait, cuma nanti akan buat keputusan berdasarkan (laporan) kumpulan teknikal yang telah pergi membuat penilaian dan kita sedang tunggu laporan secara keseluruhan.

“Selepas itu, baru buat keputusan dari segi strategi perolehan bagaimana cara dan keputusan kita untuk membuat pembelian… jadi keputusan kita sama ada nak membuat perolehan dan sebagainya (perlu) ambil kira pelbagai faktor lagi,” katanya selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera 2024 di sini.

Jun lalu, pasukan teknikal tentera udara ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur itu.

Mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung prestasi perolehan dan penerimaan kapal tentera laut, Adly berkata, ia akan dibahaskan di Parlimen minggu depan.

“Kita (Kementerian Pertahanan) akan memberikan penjelasan dan pelan perancangan kita menjelang 2050 sepertimana perancangan asal. Kita tahu ada banyak perkara yang dibangkitkan dalam laporan audit itu dan bagi kita, memang kena ada penyelesaian dan akan dijawab di Parlimen minggu depan.”

Sementara itu, katanya, 54 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima geran keseluruhan berjumlah RM270,000 menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM setakat tahun ini.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) menyalurkan bantuan geran berjumlah RM170,000 kepada 34 usahawan veteran ATM di Perak hari ini.

“Program ini dari 2023 dan kita bawa ke 2024 dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kerana kita tahu dalam kalangan golongan veteran berpencen dan tidak berpencen terlibat dengan bidang keusahawanan.

“Terdapat pelbagai bidang yang mereka ceburi, jadi satu daripada cara untuk pastikan veteran kita, terutama yang berpencen ini kekal dalam golongan M40 ialah memastikan kerjaya kedua mereka (usahawan) dapat dilaksanakan dengan baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.