Kemenangan di Sg Bakap amat bermakna dalam demokrasi tempang, kata Hadi

Kemenangan di Sg Bakap amat bermakna dalam demokrasi tempang, kata Hadi

Presiden PAS itu mendakwa keputusan malam ini juga isyarat rakyat menolak gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang gagal.

Presiden PAS, Hadi Awang berkata, kemenangan pada PRK Sungai Bakap sangat bermakna kepada PN yang bertanding di padang tidak sama rata.
PETALING JAYA:
Presiden PAS, Hadi Awang menyifatkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Sungai Bakap amat bermakna buat PAS dalam sistem demokrasi “tidak adil” dan pertandingan “berat sebelah”.

Beliau mendakwa keputusan malam ini juga isyarat rakyat menolak gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang gagal.

“Kemenangan ini sangat bermakna kepada PN yang bertanding di padang tidak sama rata, dicemari proses demokrasi tempang dan rasuah politik berleluasa.

“Keputusan PRK ini isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH-BN menguruskan ekonomi dan membela kebajikan rakyat, tanpa mengira lapisan umur dan bangsa,” katanya dalam kenyataan.

Calon PN, Abidin Ismail menewaskan Joohari Ariffin daripada PH dengan majoriti 4,267 undi.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan mengakui kekalahan itu kerana gabungan berkenaan gagal meyakinkan pengundi dalam isu penting bagi mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengundi menghantar isyarat jelas kepada kerajaan perpaduan dan kerajaan Pulau Pinang bahawa mereka tidak bersetuju dengan beberapa pendekatan dan dasarnya.

Katanya, ia juga penolakan jelas rakyat terhadap penyasaran subsidi diesel yang membebankan ramai pengguna.

“Isyarat juga kepada kerajaan Pulau Pinang agar lebih bertindak adil dalam isu agihan projek dan kemudahan infrastruktur,” katanya dalam kenyataan sambil menambah memohon maaf atas kegagalan menyediakan bekalan air bersih tidak cukup buat penduduk Sungai Bakap yang mahukan jaminan serta tindakan segera.

Beliau berkata, PH gagal memikat pengundi walaupun kerusi DUN Sungai Bakap di bawah Parlimen Nibong Tebal yang diwakili seorang menteri. Ahli Parlimen Nibong Tebal ialah Fadhlina Sidek yang juga menteri pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.