
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau dan meneliti dapatan PAC mengenai dua sistem pengurusan pekerja asing itu.
“Apa sahaja penemuan, termasuk oleh PAC, menjadi kewajipan kita untuk perbaiki amalan sekarang.
“Kita akan ikhtiar sedaya upaya tambah baik,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Larian Hari Polis, lapor Bernama.
Sebelum ini, PAC mendedahkan berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing.
Pertindihan fungsi antara Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan KDN itu dilihat sebagai membazirkan wang awam, katanya.
Menurut PAC, sistem FWCMS didapati telah digunakan selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak muktamad, jelas melanggar peraturan kerajaan.
Selain itu, PAC turut mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan ‘Pengenalan’ (ID) dalam sistem FWCMS apabila terdapat dua ID dipegang oleh bukan pegawai Kesuma.
Selain itu, terdapat juga 24 ‘pengguna yang tidak dibenarkan’ telah meluluskan 24 permohonan majikan, menurut jawatankuasa itu.
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, kes itu telah dilaporkan kepada polis agar siasatan dapat dijalankan.