
Langkah ini dilaksanakan sebagai tindakan kawalan terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan, tambahnya.
BNM berkata, langkah itu juga akan dilaksanakan bersama-sama pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan kerajaan.
“Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos perubatan supaya pengguna dapat membuat pilihan yang sesuai apabila mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Oleh itu, pendekatan seluruh negara diperlukan untuk membendung inflasi kos perubatan sepanjang rantaian nilai penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
BNM memaklumkan, berkuat kuasa 1 Sept, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dikehendaki menawarkan pilihan produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama.
“Pengguna yang telah membeli produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama boleh mengekalkan produk sedia ada.
“ITO juga boleh terus menawarkan produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama kepada pengguna baharu,” katanya.
ITO juga dikehendaki menawarkan pelbagai tahap pembayaran bersama memenuhi keperluan kewangan dan situasi pengguna berlainan.
“Pembayaran bersama juga tertakluk pada had maksimum yang ditetapkan oleh ITO bagi menghadkan jumlah perbelanjaan pemilik polisi/peserta takaful,” katanya.
Dengan adanya produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama, pengguna dapat memilih produk pada kos lebih rendah berdasarkan keperluan dan kemampuan kewangan mereka, kata BNM.
Menurutnya, pada masa ini, tahap premium produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama didapati 19% hingga 68% lebih rendah berbanding dengan produk serupa tanpa ciri-ciri tersebut.