
David Marshel berkata gadis berkenaan, yang dikenali sebagai Esha di TikTok, diganggu oleh beberapa individu yang kebanyakannya menggunakan nama samaran atau akaun palsu.
Beliau menggesa Kementerian Komunikasi mengambil berat isu buli siber setegas ia menangani komen dan kritikan terhadap kerajaan.
“Kementerian berjanji akan membawa peraturan baharu dan akta sesuai bagi mengekang isu akaun palsu dan juga siber buli semasa kes Thivyaanayagi… namun sehingga kini tiada satu peraturan atau langkah diambil oleh kementerian,” katanya di Facebook.
Marshel berkata kematian dikaitkan dengan dakwaan buli siber bukan perkara baharu di Malaysia, contohnya kematian R Thivyaanayagi pada 2020.
Wanita berusia 20 tahun itu dikatakan berdepan komen-komen menyakitkan sehingga mengalami tekanan, menurut laporan media.
Marshel percaya langkah yang perlu diambil bagi menghindari kes buli siber dan fitnah di media sosial ialah dengan memudahkan pihak berkuasa dan mangsa mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku.
“Saya ingin minta kerajaan supaya wajibkan pendaftaran untuk membuka akaun media sosial perlu berdaftar dengan menggunakan kad pendaftaran atau passport,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Esha, nama sebenarnya Rajeswary Appahu, mengeluh ada pihak masih belum berhenti bercakap tentangnya anaknya, walaupun sudah meninggal dunia.
“Anak saya sudah meninggal, sedihlah saya. Semua orang lagi hina-hina. Mereka kacau dan belum berhenti ‘cakap busuk’ pasal anak saya,” kata Puspa P Rajagopal, 56, kepada FMT dalam keadaan sebak.
Puspa berkata Rajeswary, 29, mengadu tertekan selepas menerima komen jelik dan tidak wajar di media sosial.
Perbualan FMT dengan ibu kepada enam orang anak ini sekali-sekala terhenti kerana dia tidak dapat menahan perasaan.
Pengebumian anak bongsu Puspa itu akan diadakan esok.