Beli aset lebih harga pasaran punca Mara Inc rugi, kata Zahid

Beli aset lebih harga pasaran punca Mara Inc rugi, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata kerugian dilapor juga disebabkan pelaburan melampau aset di luar negara.

zahid
Zahid Hamidi yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata akan memastikan tiada pecah amanah, seleweng, dan salah guna kuasa berlaku di bawah syarikat Mara. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mencari jalan untuk mengatasi kerugian Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) berjumlah RM286.30 juta seperti dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) supaya tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Timbalan perdana menteri yang juga Menteri KKDW Zahid Hamidi, berkata walaupun proses memulihkan kerugian itu mengambil masa yang agak lama, tetapi beliau akan memastikan tidak berlaku pecah amanah, penyelewengan, dan salah guna kuasa di bawah anak syarikat Mara.

“Kerugian Mara Inc ini berlaku sejak tahun 2012 lagi dan saya akan cari jalan untuk mengatasi masalah itu sekarang supaya tidak berulang.

“Kita bukan mahu mencari salah, namun kerugian yang dilaporkan disebabkan salah pelaburan dan pelaburan yang melampau kerana beberapa aset yang dibeli di luar negara melebihi harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda Madani 1.0 di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1.

Semalam, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Azhar Abdul Manaf, berkata kerugian terkumpul sejak 2012 hingga 2022 itu sebahagiannya adalah melibatkan urusan pembelian aset di luar negara, khususnya di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014.

Menerusi LKAN Siri 2 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Rabu, memaklumkan jumlah kerugian terkumpul ditanggung MARA Inc menurun 3.8% daripada RM297.63 juta pada 2021 kepada RM286.30 juta pada 2022.

Penurunan itu disumbang oleh peningkatan prestasi kewangan kumpulan, apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM11.67 juta bagi tahun 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.