
Ketua Setiausaha Kesuma Khairul Dzaimee Daud, berkata pegawai hanya akan digantung jika siasatan dalaman dilakukan.
“SPRM beri jaminan siasatan adil dan profesional akan dilaksana segera (berhubung isu ini).
“Tidak ada (pegawai digantung). Sekiranya ‘domestic inquiry’ (siasatan dalaman) diwujudkan (barulah) pegawai digantung sementara.
“Oleh kerana ini siasatan oleh SPRM, tidak perlu mana-mana pegawai ditahan tugas atau digantung sementara,” katanya menurut Bernama selepas menyerahkan laporan kepada agensi antirasuah itu di Putrajaya.
Laporan dibuat itu diserahkan bersama oleh Khairul dan Ketua Eksekutif HRD Corp Shahul Hameed Dawood, pada 11 pagi tadi.
Hari ini, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, berkata kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
Beliau juga tidak menghalang jika ada mana-mana pihak berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut terhadap agensi di bawahnya susulan laporan LKAN.
Semalam, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024, berkata Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit dibuat.
Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut dilapor mendedahkan RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.