
“Perkara berkenaan juga akan dikemukakan kepada jawatankuasa pengurusan untuk dimuktamad dan diputuskan oleh majlis kerja tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Jeli.
Sementara itu, Zahid berkata kerajaan berazam meneruskan agenda Melayu dan Islam tanpa mengetepikan kepentingan agama dan bangsa lain.
Beliau berkata dakwaan kerajaan bersekongkol dengan DAP adalah tidak benar malah parti komponen kerajaan perpaduan itu menghormati dasar berkenaan.
“Sepanjang lebih setahun setengah saya menjadi timbalan perdana menteri dan duduk dalam Jemaah Menteri, DAP tidak pernah sekalipun menentang dasar Melayu dan Islam sesuai dengan Perlembagaan.
“Kita bukan bersekongkol dengan DAP tetapi mereka parti komponen dalam Pakatan Harapan. Walaupun mereka hanya ada empat menteri, mereka tidak pertikai sebab menghormati bahawa menteri Umno berpengalaman untuk membantu kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.
Zahid berkata komitmen membela kepentingan Melayu dan Islam adalah amanah yang akan diteruskan dan dibuktikan sebelum ini apabila kerajaan menjaga kesaksamaaan semua bangsa.
Beliau juga berkata kerajaan tidak mengetepikan kebajikan penduduk di kawasan pedalaman termasuk Jeli dan Gua Musang.
Umno katanya akan memastikan semua kawasan pedalaman sentiasa mendapat perhatian untuk dimajukan dan bukannya dilakukan secara bermusim termasuk ketika pilihan raya.