Maqis gagalkan cubaan bawa masuk daging korban dari Bangladesh

Maqis gagalkan cubaan bawa masuk daging korban dari Bangladesh

Daging lembu korban seberat 20 kg itu dirampas daripada lelaki warga Bangladesh yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, minggu lepas.

maqis
Pegawai penguasa Maqis menunjukkan daging lembu korban seberat 20kg dibawa dari Bangladesh yang dirampas di laluan ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. (Gambar Maqis)
KOTA BHARU:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan menggagalkan cubaan membawa masuk daging lembu korban dari Bangladesh melalui pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, minggu lepas.

Pengarahnya, Syed Fuad Syed Putra, berkata pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguasa Maqis pada 6 petang 26 Jun lepas di laluan ketibaan penumpang LTSIP mendapati daging lembu seberat 20kg bernilai RM600 itu tidak mempunyai permit yang sah dan dijumpai disorok dalam kotak polistren.

Beliau berkata tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara bertujuan menghalang risiko kemasukan penyakit kuku dan mulut (FMD) ke negara ini dan merosakkan industri penternakan negara.

“Seorang penumpang lelaki warga Bangladesh berusia 40-an ditahan ketika sedang memeriksa barangan yang dibawanya di balai ketibaan dan turut ditemukan 20 kg daging lembu korban dipercayai untuk diberikan kepada keluarganya di Rantau Panjang, Pasir Mas.

“Kesemua barang dagangan itu telah dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Fuad berkata perbuatan mengimport apa-apa jenis tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma tanpa permit import sah daripada Maqis menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.