‘Low class’, Puad sindir Noh alasan masuk Bersatu kerana ‘Bossku’

‘Low class’, Puad sindir Noh alasan masuk Bersatu kerana ‘Bossku’

Ahli MKT Puad Zarkashi berkata Noh Omar sengaja menjual nama Najib Razak untuk melompat parti walaupun diketahui beliau bukan penyokong kuat 'Bossku'.

Puad Zarkashi Noh Omar
Puad Zarkashi mendakwa Noh Omar menyertai Bersatu kerana mahu menjadi calon Parlimen Tanjong Karang jika berlaku PRK.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menyifatkan alasan Noh Omar menyertai Bersatu kerana simpati terhadap nasib dan perkembangan kes bekas perdana menteri Najib Razak sebagai ‘low class’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata Noh sengaja menjual nama Najib untuk melompat parti, walaupun diketahui beliau bukan penyokong kuat ‘Bossku’.

“‘Low class’ punya alasan. Noh Omar bukan ‘die hard’ Najib. Apa dia boleh buat untuk membela Najib kalau masuk Bersatu?

“Muhyiddin (Yassin) dan Bersatu lagi kuat mahu Najib dipenjarakan. Lagi lama ditahan lagi bagus,” katanya di Facebook.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas presiden Umno itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

Puad mendakwa, Noh menyertai Bersatu kerana mahu menjadi calon Parlimen Tanjong Karang jika berlaku PRK.

“Sebenarnya Noh masuk Bersatu kerana dia mengidam jadi calon kerusi Tanjung Karang. Dia yakin kerusi itu akan dikosongkan,” katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal itu digugurkan daripada kerusi berkenaan pada PRU15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau antara individu disebut-sebut bakal dipertaruhkan PN jika berlaku PRK di kerusi terbabit susulan permohonan Bersatu mengosongkannya.

Ini selepas penyandangnya Dr Zulkafperi Hanapi terlucut keahlian Bersatu kerana gagal mematuhi arahan parti dengan terus menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.