JPPM tolak daftar Urimai

JPPM tolak daftar Urimai

Pengerusi Interim P Ramasamy kecewa perkara itu berlaku dalam era pentadbiran Anwar Ibrahim.

P Ramasamy berkata pihaknya akan kemuka rayuan kepada menteri dalam negeri selain ambil tindakan lanjut melalui saluran undang-undang.
PETALING JAYA:
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menolak permohonan pendaftaran parti Urimai selepas lapan bulan memohon, kata Pengerusi Interim P Ramasamy.

Bekas pemimpin DAP itu mendakwa, pimpinan Pakatan Harapan (PH) menafikan pendaftaran parti politik baharu di era pentadbiran Anwar Ibrahim yang selalu mencanangkan laungan ‘reformasi’.

“Dalam sejarah Malaysia, pendaftaran parti politik terpaksa melalui satu jangka masa yang panjang.

“Parti-parti seperti PSM dan Muda telah mendapatkan pendaftaran mereka setelah bawa isu pendaftaran ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Urimai sudah menghantar permohonan secara rasmi kepada JPPM, pada 3 Nov tahun lalu.

Katanya, sebelum ini peguamnya menerima sepucuk surat daripada JPPM, memaklumkan permohonan Urimai masih dalam proses semakan dan penelitian.

“Selang beberapa hari sahaja, kami menerima pemakluman penolakan permohonan ini. Keputusan ini dikeluarkan semasa berjalannya kempen PRK di Sungai Bakap,” katanya.

Ramasamy berkata, beliau akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam masa 30 hari.

Menurutnya, pasukan undang-undang Urimai sedang mengambil langkah mengemukakan rayuan itu dan juga tindakan lanjut menurut lunas undang-undang.

“Penubuhan parti ini adalah hak terjamin kami yang termaktub dalam Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.