FMM gesa akta kawal selia HRD Corp disemak

FMM gesa akta kawal selia HRD Corp disemak

Persatuan Pekilang Malaysia juga mencadangkan lembaga pengarah diberi suara dalam pelantikan CEO syarikat itu.

HRD Corp
Presiden FMM Soh Thian Lai berkata tindakan tegas dan segera perlu diambil untuk menambah baik pengurusan HRD Corp, yang merupakan ‘penjaga tunggal dana pembangunan sumber manusia’.
PETALING JAYA:
Persatuan Pekilang Malaysia (FMM) menyeru undang-undang yang mengawal selia Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) disemak semula susulan penemuan prosedur ‘ketidakteraturan’ dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Soh Thian Lai.

Presiden FMM Soh Thian Lai, berkata tindakan tegas dan pantas perlu diambil untuk menambah baik pengurusan HRD Corp, yang merupakan ‘penjaga tunggal dana pembangunan sumber manusia’.

Katanya, ini termasuk beberapa perubahan struktur untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam organisasi tersebut, sambil menangani kelemahan dalam aspek tadbir urus.

“Pada masa yang sama, adalah penting mekanisme audit dan pematuhan dikukuhkan lagi untuk memastikan integriti kewangan dan penggunaan dana yang betul.”

“Turut dicadangkan semakan menyeluruh terhadap Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001, termasuk mungkin menukar portfolio pelaburan dan memberikan lembaga pengarah suara dalam pelantikan ketua pegawai eksekutif,” katanya kenyataan.

CEO HRD Corp biasanya dilantik oleh kerajaan atau menteri sumber manusia.

Dalam laporan LKAN yang disiarkan semalam, Kementerian Sumber Manusia disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit dibuat.

Katanya, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut dilapor mendedahkan RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Soh juga memuji Menteri Sumber manusia, Steven Sim, kerana dengan segera mengarahkan laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung penemuan laporan Ketua Audit Negara dan PAC itu.

Beliau juga mengakui bahawa Sim telah mengambil langkah-langkah untuk membaik pulih pengurusan kewangan HRD Corp sejak menjadi menteri pada Disember tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.