
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata pendekatan Zahid itu juga sebagai usaha merapatkan kembali saf dalam Umno yang retak sebelum ini sehingga ramai pemimpin lama digugurkan dan beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
“Keterbukaan (Zahid) ini ingin menyakinkan orang ramai dan penyokong bahawa parti itu bersifat jiwa besar dan bersedia bekerjasama dengan mereka yang boleh mengembalikan kemenangan kepada Umno.
“Ini beri rangsangan dan daya baharu kepada ketampakan imej Umno di mana agenda penyatuan dalaman itu mula direncanakan,” katanya kepada FMT.
“Seterusnya dapat beri fokus usaha tarik sokongan pengundi dan penyokong akar umbi.”
Selasa lalu, Zahid berkata Umno sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahli, termasuk bekas menteri hal ehwal ekonomi Mustapa Mohamed yang juga bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu.
Tanpa menyebut Mustapa secara khusus, Zahid berkata bahawa bekas ahli Umno yang bercadang untuk menyertai semula parti itu mesti terlebih dahulu mendapat kelulusan lembaga disiplin dan biro politik parti.
Minggu lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak tahu Mustapa telah keluar parti selepas bersara daripada politik.
Pandangan Ariff juga dikongsi Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia yang menyifatkan tindakan itu tepat sebagai persediaan awal menghadapi PRU16 memandangkan ramai bekas ahli Umno mempunyai pengaruh tersendiri.
“Pengaruh bekas ahli boleh membantu dalam persiapan Umno menghadapi PRU16 dan juga PRK sekiranya ada.
“Bagaimanapun kena ingat selepas bekerjasama kembali Umno tak boleh lagi pecah banyak kumpulan, mereka perlu bersama pucuk pimpinan dalam hadapi senario politik masa kini, perlu setia,” katanya.