Elak beri ‘trailer teka-teki’ inisiatif kerajaan, kata pakar komunikasi

Elak beri ‘trailer teka-teki’ inisiatif kerajaan, kata pakar komunikasi

Zaharom Nain berkata rakyat mungkin menganggap menteri tidak serius dalam menangani masalah jika buat pengumuman tergantung.

Kenyataan dibuat Rafizi Ramli dan Fahmi Fadzil berhubung penyelarasan subsidi RON95 dan berita baik harga barang telah dimanipulasi ramai.
PETALING JAYA:
Seorang pakar komunikasi berpendapat sebarang pengumuman awal berkaitan inisiatif kerajaan perlu disertakan penjelasan seperti kesan pelaksanaannya, bukan hanya sekadar hebahan teka-teki.

Zaharom Nain dari Universiti Nottingham Malaysia berkata pengumuman ‘terlalu ringkas’ hanya menyebabkan masyarakat menganggap menteri-menteri kerajaan tidak serius menangani masalah rakyat.

“Jika banyak sangat kenyataan rasmi dihebahkan dengan cara sebegini, ia seakan-akan seseorang menteri yang dipilih rakyat memandang rendah dan memperlekehkan kehendak mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata setiap keputusan kerajaan membawa implikasi terhadap rakyat dan tidak harus dipersembahkan dengan begitu remeh sekali, sebaliknya secara profesional.

Zaharom mengulas kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ‘akan ada satu lagi kejutan’ berkaitan penyelarasan subsidi petrol RON95 dalam wawancara Bloomberg minggu lalu, yang mungkin memberi peluang pembangkang untuk memanipulasikan isu tersebut.

‘Kejutan’ itu merujuk kepada strategi kerajaan tidak membuat makluman awal kepada umum berkenaan keputusan berkaitan penyelarasan subsidi petrol RON95 seperti dibuat ketika melaraskan harga diesel, bulan lalu.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata ‘trailer’ tanpa apa-apa bayangan atau petunjuk itu mungkin ‘cuba memancing’ fokus orang ramai untuk memfokuskan pengumuman sebenar.

Namun katanya, jika pengumuman yang lama ditunggu rakyat itu tidak berisi dan sekadar propaganda maka kerajaan akan berdepan kritikan.

“Kita sudah tunggu lama tetapi hanya pengumuman kosong. Tiada masalah kita tunggu jika ia bersifat substantif,” kata penganalisis politik itu.

Bulan lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi bayangan bahawa satu pengumuman baik berkenaan barangan makanan bakal dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun ia tidak berlaku pada masa yang dijanjikan.

Susulan itu, Khairy Jamaluddin mengecam tindakan Fahmi kerana terlampau ‘mengembar-gemburkan’ pengumuman berhubung harga telur, sehingga ia tidak mendapat respon baik bahkan menjadi bahan ejekan netizen di media sosial.

Bekas menteri kesihatan itu berkata ‘trailer’ Fahmi seolah-olah memberi isyarat kepada rakyat bahawa ia sesuatu perkara yang sangat besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.