Umat Islam perlu berani tonjol akhlak Islam santuni penganut agama lain

Umat Islam perlu berani tonjol akhlak Islam santuni penganut agama lain

Anwar Ibrahim berkata, itu antara pandangan dikemukakan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb kepada beliau dalam usaha merealisasikan cita-cita Malaysia membentuk negara Madani.

Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb menerima ijazah kehormat doktor falsafah Pengajian Quran dan Sunnah daripada Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Khas di Kuala Lumpur sambil disaksikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Umat Islam di negara ini perlu lebih positif dan berani menonjolkan akhlak Islam dalam menyantuni penganut agama lain di Malaysia serta rantau Asia.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata itu antara pandangan dikemukakan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb kepada beliau dalam usaha merealisasikan cita-cita Malaysia membentuk negara Madani.

Anwar berkata, dalam pertemuan malam tadi, tokoh agama terkemuka itu menggesa beliau bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh bagi menghimpunkan kekuatan umat serta memastikan ada sikap lunak, berbaik sangka, saling menghormati serta lita’aruf dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Insya Allah, kita akan tunaikan amanat, pandangan yang beliau sentuh sebaik mungkin, terutama soal landasan kekuatan asas Muslim serta peringatan kepada umat Islam untuk mempunyai keupayaan menguasai disiplin ilmu dan teknologi baharu.”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menyaksikan penganugerahan ijazah kehormat doktor falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) kepada Sheikh Al-Azhar yang disempurnakan Pro-Canselor Usim, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Khas di sini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar.

Anwar dalam ucapannya juga berharap Usim dapat memainkan peranan menterjemah pidato Sheikh Al-Azhar hari ini bagi memastikan ia dimanfaatkan serta disebar luas ke seluruh negara.

“Kupasan pidato Sheikh Al-Azhar ini membuktikan ketokohan dan tahap ilmu beliau, saya terpegun dan terpukau dengan kupasan begitu meluas,” katanya memuji keputusan Usim memberi pengiktirafan kepada tokoh agama itu.

Beliau berkata, Sheikh Al-Azhar memberi sumbangan sangat besar kepada dunia Islam, termasuk di Kepulauan Melayu.

“Malah, Azharis (lulusan Universiti Al-Azhar) banyak beri manfaat, menjadi benteng utama mempertahankan akidah ilmu, menanam semangat serta roh Islam dalam masyarakat di sini menghadapi serangan pelbagai (seperti) kepincangan akibat asakan pemikiran barat, ideologi liberal menyimpang landasan Islam serta pelampau taksub sehingga berlaku perpecahan.

“Semoga universiti utama seperti Al-Azhar ini dengan rangkaian sistem pendidikan yang ada dalam negara kita dapat meneruskan usaha mempertahankan umat utamanya melalui gedung-gedung ilmu.”

Sheikh Al-Azhar, yang berstatus perdana menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, kini dalam lawatan khas empat hari ke Malaysia hingga esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.