Penyasaran subsidi diesel, rampasan turun 87%, kata menteri

Penyasaran subsidi diesel, rampasan turun 87%, kata menteri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata trend penurunan itu berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

armizan
Armizan Mohd Ali berkata jumlah individu yang ditahan berkait kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama iaitu daripada 40 orang kepada seorang sahaja. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Langkah penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas menyaksikan penurunan rampasan minyak diesel sebanyak 87%, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Trend penurunan itu katanya adalah berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, jumlah kes yang direkodkan ialah 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter, manakala bagi tempoh 10 Jun hingga 30 Jun lepas, iaitu 20 hari selepas penyasaran subsidi dilaksanakan, statistik menunjukkan hanya 14 kes melibatkan jumlah rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter.

“Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama iaitu daripada 40 orang kepada seorang sahaja.

“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan jumlah kes yang signifikan,” katanya dalam kenyataan.

Berkuat kuasa 10 Jun lepas, kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter di semua stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit bahan api itu bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Bagaimanapun, Armizan berkata terdapat peningkatan bagi rampasan petrol RON95 iaitu 37 kes, melibatkan sebanyak 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata jumlah tangkapan pula meningkat daripada 10 kepada 17 orang bagi tempoh sama.

Bagi membanteras aktiviti tersebut, beliau berkata pihaknya akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi Ops Tiris 3.0 di seluruh negara.

“Kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain juga diadakan bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.