
Laporan itu turut menegur pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar, selain pengurusan projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Dalam dapatan LKAN, projek RoL dijangkakan gagal disiapkan tahun ini kerana hingga Julai 2023, sebanyak 12 masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan dan kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.
Antara lain, lampiran itu menyebut semua objektif RoL belum dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB iaitu bagi tujuan rekreasi, selain kelewatan penyiapan bagi tiga projek dan penamatan satu projek pembetungan yang menyebabkan peningkatan kos dianggarkan RM234.72 juta, malah kerja pengindahan sungai tidak dilaksanakan di sepanjang 2.2km Sungai Gombak.
Berhubung pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar pula, laporan itu memaklumkan matlamat untuk memperluas liputan dan ketersambungan internet berkelajuan tinggi (fiber) di kawasan luar bandar menerusi peruntukan kewangan kerajaan belum tercapai sepenuhnya.
“Sebanyak 28 daripada 87 jajaran jalur lebar (kawasan projek Broadband To General Population-BBGP) di Sabah dan Semenanjung bernilai RM53.60 juta tidak dilanggan dan tidak digunakan antaranya sejak dari tempoh penyiapan pada 2013 dan 2017.
“Terdapat sebahagian infrastruktur jajaran berkenaan dalam keadaan terbiar, sambungan talian kabel terputus dan kerosakan peralatan. Sebanyak 337 daripada 597 sampel sekolah masih menggunakan teknologi jalur lebar (broadband) atau satelit dengan kelajuan yang terhad walaupun teknologi fiber telah disediakan bawah projek Point of Presence (PoP) Fasa 1,” menurut LKAN
Mengenai pengurusan projek dan program di bawah ECER, LKAN memaklumkan sebanyak 37 daripada 43 plot perindustrian tidak diisi dengan pelabur bagi Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP 3) dan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.
“Selain itu, terdapat infrastruktur seperti Animal Production Unit (APU), stor dan rumah pekerja bernilai RM4.03 juta di tapak Projek Pembangunan Ladang Komersial Kambing di Ulu Tersat, Terengganu tidak digunakan sejak 2011,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan mengandungi sembilan pengauditan membabitkan 11 kementerian dengan nilai kos keseluruhan program, projek dan aktiviti diaudit berjumlah RM41.970 bilion.
Skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) hingga RMK12.