
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata, penelitian perlu dilakukan dari pelbagai sudut sebelum pertimbangan atau pengenalan dasar dibuat kerajaan.
“Penelitian perlu dilakukan daripada pelbagai sudut, antaranya indeks kos bahan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan merekodkan sebarang peningkatan dan penurunan kos binaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai inisiatif kerajaan dalam membantu kontraktor ekoran kenaikan harga jentera dan bahan disebabkan kenaikan harga barang, khasnya bagi kontraktor yang ditawarkan kerja sebelum harga diesel naik.
Nanta berkata, industri pembinaan mungkin terkena tempias susulan langkah penyasaran subsidi diesel namun masih terlalu awal untuk menganggarkan peratusan kenaikan kos dalam industri berkenaan.
Menjawab soalan asal Roslan berhubung sama ada kementerian bercadang menaikkan had nilai kerja kontraktor G1 daripada RM200,000 kepada RM250,000 atau RM300,000 dan G2 kepada RM600,000, mengambil kira harga barangan, Nanta berkata, perkara itu bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.