Kerajaan tubuh SEGiM, diletak bawah JPM

Kerajaan tubuh SEGiM, diletak bawah JPM

Suruhanjaya itu bukan saja meliputi hal berkaitan kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing malah melibatkan pekerja separa masa dan separa profesional.

phailing driver grab
Cadangan penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) akan ditubuhkan dalam tempoh dua bulan lagi dan diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata ia sebagai kesinambungan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika Kongres Ekonomi Bumiputera baru-baru ini yang mahu melihat ia diwujudkan.

Beliau berkata, suruhanjaya itu bukan saja meliputi hal berkaitan kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing malah melibatkan pekerja separa masa dan separa profesional.

“Kerana kumpulan ini termasuk bawah Akta 789 iaitu Akta Bekerja Sendiri dan ia akan dapat dilakukan dalam tempoh dua bulan atau 60 hari dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan SEGiM.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Mengulas lanjut, Zahid berkata suatu akta baharu berkenaan ekonomi gig akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang Oktober hingga Disember depan.

Katanya, ia berikutan hanya 250,000 daripada 1.16 juta pekerja gig mencarum perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Untuk itu, kita telah buat keputusan bahawa suatu akta baharu bagi mencakupi soal pekerja gig akan dibentangkan oleh Menteri Kesuma dan ia akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang untuk bacaan pertama,” katanya.

Cadangan penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu bermula dari peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja hinggalah pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.