Harga minyak sawit tak kompetitif jika WPL tak disemak semula

Harga minyak sawit tak kompetitif jika WPL tak disemak semula

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata, pihaknya akan meneliti semula WPL sebelum menghantar keputusan kepada Kementerian Kewangan.

KELAPA_SAWIT
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani menggalakkan penggiat industri sawit agar mengguna pakai teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.
BANGI:
Harga minyak sawit akan menjadi tidak kompetitif berbanding dengan negara pengeluar lain jika levi keuntungan luar biasa (WPL) terhadap minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata, pihaknya akan meneliti dan menyemak semula WPL ini, seterusnya keputusan akan dihantar kepada Kementerian Kewangan.

“Kementerian Kewangan akan mengkajinya … bagaimana kita boleh melihat semula benda ni, dan secara tidak langsung (keputusan semak semula) juga boleh menggalakkan penanaman semula apabila produk ini menjadi kompetitif.

“Justeru lebih ramai akan datang dan melabur pada tanah yang kita ada,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, Johari berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan bekerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyemak semula WPL ke atas minyak sawit di negara ini untuk dibentangkan dalam Belanjawan 2025, seiring dengan harga semasa komoditi itu.

“(Sebelum ini), kos mengeluarkan satu tan metrik minyak sawit lebih kurang RM1,800, tetapi sekarang boleh mencecah RM2,800 hingga RM3,200, bergantung pada saiznya,” katanya.

“Kos yang kita gunakan pada RM1,800 mungkin sesuai guna WPL, tapi sekarang tidak lagi apabila dagangan pasaran kira-kira RM3,800 hingga RM3,900 dengan kos lebih RM3,000.

Terdahulu dalam ucapannya, Johari berkata, penggiat industri perlu aktif mengguna pakai teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.

Dengan cara ini, industri sawit Malaysia dapat kekal berdaya saing dan relevan seiring dengan perubahan global, tambahnya.

“Keuntungan diraih haruslah dilabur semula supaya industri sawit Malaysia secara keseluruhan menjadi bertambah maju,” katanya.

Sempena program tersebut, MPOB juga memperkenalkan enam teknologi baharu bagi pengkomersialan teknologi inovatif sawit.

Enam teknologi baharu itu ialah baka tanaman baharu Siri Klon Sawit 4 (CPS 4) dan Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik Kawalan Radio, Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit, Cecair Pencuci Gred-industri, Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak, serta Minyak Transformer Berasaskan Sawit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.