
Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS membuktikan kemampuannya mentadbir dari 2020 hingga 2022 apabila diberi peluang, walaupun sebelum itu berdepan kekalahan termasuk di kubu kuatnya di Terengganu dan Kedah.
“Banyak masalah diselesaikan masa kita perintah, dalam masa sedikit sahaja berlaku Covid-19 dan sebagainya…tetapi selesai dengan hasil negara kita sendiri tanpa bergantung orang lain.
“Bukan hutang dengan Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan hutang dengan negara lain (sebaliknya) bergantung kepada kekuatan dan tenaga sendiri,” katanya dalam ceramah mega grand finale PN bagi PRK Sungai Bakap malam ini.
Hadi bagaimanapun tidak menyatakan masalah telah diselesaikan PAS sepanjang tempoh pentadbirannya di Putrajaya bersama PN serta parti lain termasuk Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, pilihan raya memberi peluang kepada rakyat menghukum kerajaan jika membuat kesilapan seperti dialami Parti Konservatif di United Kingdom (UK) kerana gagal menguruskan ekonomi serta silap percaturan dalam politik antarabangsa.
“Ini peluang untuk kita tolak PH (Pakatan Harapan), untuk beri isyarat walaupun ini pilihan raya kecil tetapi mempunyai makna sangat besar kepada politik negara.
“Sungai Bakap akan mengajar seluruh Malaysia supaya berani buat perubahan pilih PN,” katanya.
PRK Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara PN yang meletakkan Abidin Ismail menentang Joohari Ariffin dari PH.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff dari PN pada 24 Mei lalu.
Keputusan PRK Sungai Bakap itu tidak akan mengubah pentadbiran Pulau Pinang yang kekal di bawah kerajaan perpaduan PH-BN.