
Peguam, Johan Radzi, memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa Syed Shah Iqmal tidak mahu meneruskan rayuan dan ingin menarik balik rayuan berkenaan.
“Perayu sebelum ini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan perayu daripada pertuduhan merogol.
“Perayu sudah membela diri atas pertuduhan berkenaan dan keputusan di akhir kes pembelaan ditetapkan pada Ogos ini. Rayuan perayu kini bersifat akademik,” kata peguam itu, yang memaklumkan pihak peguam utama perayu, Syed Amirul Syed Edros, tidak dapat hadir prosiding hari ini atas hal kecemasan.
Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad berkata rayuan Syed Shah Iqmal tidak lagi kompeten kerana perayu sudah membela diri.
Dalam prosiding itu, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan SM Komathy Suppiah membatalkan rayuan berkenaan.
Menerusi semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk keputusan pada 30 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Norazlin Othman.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal, 28, daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita yang ketika itu berusia 23 tahun, dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, pada kira-kira 1.35 pagi 11 Sept 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut kolej swasta.