
Shafee berkata, tiada seorang pun pegawai atau institusi kerajaan menafikan kewujudan dokumen itu, yang turut dirujuk sebagai “adendum”.
“Anda fikirkanlah, perkara yang begitu mustahak tak ada individu daripada kerajaan (menafikannya).
“Kalau benda tu memang tak ada, kenapa tak boleh cakap? Katalah benda ni tak ada, jangan buang masa,” katanya dalam sidang media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran perintah tambahan dikatakan itu.
Hakim Amarjeet Singh berkata, tidak wujud kes boleh dipertikaikan yang memerlukan semakan kehakiman didengar.
Katanya, afidavit difailkan Najib serta Presiden Umno, Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Wan Rosdy Wan Ismail ialah dengar cakap angin semata-mata.
Shafee kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.
Shafee memberitahu sidang media bahawa Najib bercadang merayu keputusan Mahkamah Tinggi dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan writ.
Beliau berkata, firmanya sudah menulis tiga surat kepada peguam negara, menteri undang-undang dan reformasi institusi serta Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang semuanya turut dihantarkan sesalinan kepada perdana menteri dan timbalannya, tetapi tiada jawapan diberikan.
Katanya, di bawah undang-undang keterangan, sikap berdiam diri kerajaan boleh dianggap “alasan tidak sesuai”.
“Begitulah dahsyatnya kesan undang-undang itu.”
Shafee berkata, kerajaan terpaksa mengesahkan kewujudan adendum itu jika ia memberi respons.
“Jadi, sekarang anda lihat kerajaan berlakon pekak dan bisu, main sorok-sorok dengan adendum itu. Satu hari nanti ia akan muncul dalam keadaan paling buruk.”