
Abdul Hadi Mat Din, 42; Teoh Boon Poh, 58; Chua Eng Keong, 47 dan warga Thailand, Sukree Awang, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Ruwena Md Nurdin, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama menjalankan penyeludupan migran melibatkan enam wanita di tempat letak kereta berbayar, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu sekitar jam 11.26 pagi pada 9 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nazreen Zabarudin.
Hadi dan Teoh diwakili peguam, Harpal Singh manakala Mohamad Hafiz Jalaludin mewakili Chua, dan Shukree diwakili Muhamad Syah Azlan Abdullah.
Mahkamah menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.